Wednesday 4 November 2009

di dalam kelas yang menunggu...

BERBAGAI-BAGAI perkara mahupun fenomena yang boleh disaksikan dengan pancaindera kita dijadikan metafora untuk meringkaskan sebuah perihal - KEHIDUPAN.

Saya pula cuba menyimpulkan kehidupan dari sudut ilmu. Memang ini yang berlegar di fikiran saya usai menduduki kertas pertama ujian hujung semester.

Usaha itu satu keperluan yang tinggi dalam mendapatkan sesuatu. Tidak kiralah usaha yang bagaimana, dalam bentuk apa. Yang penting, masa. Bertindak awal tidak cukup untuk mendapatkan hasil yang memuaskan, tetapi perancangan juga dinamakan usaha. Perancangan menzahirkan niat hati untuk mendapatkan sesuatu dengan usaha.

Tapi, bukan ke situ tujuan saya. Ini klise. Anda semua tentu lebih arif tentang usaha.

*
Begini.

Berbalik kepada metafora tadi. Saya mengandaikan kehidupan seperti sebuah kelas. Ada silibus untuk pemudah timba ilmu, ada sesi perbincangan untuk berkongsi pemahaman dan pendapat. Sesi paling penting adalah peperiksaan. Ujian. Ada yang suka meminjam istilah dari padang pasir memanggilnya 'imtihan'.

Andai kehidupan ibarat kelas, maka ujian dalam kehidupan adalah hari perhitungan. Ya, bagi yang percaya pada konsep telos, hari perhitungan merupakan hari penting bagi setiap insan.

Latihan dalam kelas pula, saya andaikan seperti perjalanan hidup manusia. Ini melibatkan setiap perkara yang dilakukan. Maknanya manusia akan buat mengikut apa yang dia ingat dan faham semasa belajar di kelas.

*
Menyebut konsep telos, sudah tentu saya bercakap tentang diri kita yang berakhir dan menemui pengakhiran khususnya di dunia. Manusia kekal - usah dikelirukan oleh mati. Mati sekadar jambatan ke alam seterusnya. Cuma tidak pasti dengan tepat bagaimana kehidupan kita selepas mati. Tambahan pula, mati itu juga ibarat terjun dari tembok tinggi yang kita panjat. Badan semacam berat teramat kerana malar melanggar etika umat; menyebabkan momentum kejatuhan tinggi, hebat. Kalau kita berpaut dengan Pencipta, semakin kuat pautan kita, semakin kita rasa mudah untuk merasai terjunan dari tembok tinggi.

Saya ada menyebut tentang perjalanan hidup. Itu, secara 'time-order'-nya, berjalan dahulu, baru berhenti. Berhenti tidak berlaku tanpa berjalan.

Begini, ini sebenarnya khusus untuk yang belajar, termasuklah yang mendalami secara informal akan bidang agama. Agama Islam. Agama saya.

~Anggapan kebanyakan orang, walaupun majoriti, sebenarnya tidak tentu benar. Malangnya ini hampir-hampir menjadi konformiti. Oleh demikian, usah biarkan diri diracun konformiti~

Perkara yang hampir-hampir menjadi konformiti tadi adalah 'mata pelajaran agama Islam senang sahaja'. Benarnya ada. Di atas kertas, di dinding nurani ustaz dan ustazah - memang senang hendak mendapat markah tinggi dalam ujian mata pelajaran ini. Jadi, ramai menganggap mata pelajaran itu senang. Memang senang. Tapi, kesusahannya berlipat ganda jika kita selami sebuah hakikat. Cuba bawa ajaran dalam kelas pendidikan Islam ke dalam kehidupan harian, atau saksikan perbuatan kebanyakan orang.

Cuba terbalikkan pandangan - cari seorang yang secara kasarnya tidak menuruti ajaran agama Islam: tak pakai tudung, kaki botol (contoh ekstrim; sekadar pemudah): kebanyakan mereka lulus perkara asas agama. Tanyalah mereka soalan pelajar sekolah rendah. Tanyalah sejarah. Jadi, perkara yang kita fikir tidak ada, sebenarnya ada. Otak penyimpan ilmu agama, tidak lebih dari itu.

Itu baru ajaran asas. Bagi yang mendalami ilmu agama - wujud percambahan ide atau perkaitan kukuh dengan agama: falsafah, bahasa, budaya, sains... semualah.

Tidak salah. Cuma beringat; menuntut ilmu agama, ada hukum kekal (permanent legalism) sepatutnya dipelajari dan dikaji seperti mana kita menekuni ilmu kalam. Belok ke kanan, atau ke kiri, berpusing-pusing atau bersimpul, sambil melompat mahupun terbang - asalkan hujungnya sama. Jadi, ini menjalinkannya dengan satu lagi perkara penting yakni berguru dalam menuntut ilmu. Ini boleh mengurangkan malah mengelakkan lahirnya cerdik-pandai yang memandai-mandai.

*
Berbalik kepada ujian tadi, ya. Ini memang mudah ditaip, tetapi sukar dibuat. Sungguh. Kalau dalam peperiksaan di kelas (kelas nyata / makna asal) kita tidak lulus, usah risau. Lulus di atas kertas bukan satu-satunya bukti kejayaan kerana kehidupan selepas mati lebih mementingkan ujian selepas mati. Hidup ini singkat -- seperti hari-hari terakhir menunggu tibanya detik peperiksaan.

***