Wednesday 22 October 2008

evolusi dialek melayu sarawak

~keunikan dialek melayu sarawak semakin berkurangan.~

Pengenalan: Ini sekadar cicipan dari kehidupan seharian bersama ahli keluarga yang sahabat handai.
[sebelum lupa, saya orang Sarawak, di pinggir Bandar Kuching].

Pada suatu hari di sebuah kedai, saya bertanya kepada seorang pekerja, “kamek suka ngan klip rambut jenis tuk tapi bagus agik mun ade rone kalas [saya suka akan jenis ni tapi lebih bagus kalau ada warna ‘kalas’]”. Gadis melayu itu bertanya kembali, “kalas ya apa? [‘kalas’ tu ape?]”. “kalas ye ‘pink’ [‘kalas’ ialah ‘pink’ @ merah jambu”.

Benarlah apa yang dikata, bahasa berevolusi.

Memang kita sedari lain era, lain penggunaan kata.

Ini turut berlaku pada dialek melayu Sarawak.

Kalau dengan orang tua kita akan mendengar istilah yang boleh dikatakan kuno. Jika digunakan dalam perbualan bersama orang muda, biasanya akan berlaku salah faham atau ada yang tak faham langsung.

Ini sedikit sebanyak membawa kita kepada isu integrasi kerana pada zaman sekarang semakin ramai orang berhijrah ke sana sini misalnya dari miri ke kuching.

Apa yang kita tahu, orang semenanjung lebih faham dan mudah berkomunikasi dengan penduduk sabah dan brunei. Secara geografinya, sabah dan brunei pula dekat dengan utara Sarawak sepert miri (miri dan kuching jaraknya ibarat johor dan perlis). Oleh demikian, tidak hairanlah kenapa penduduk kawasan utara Sarawak menggunakan istilah melayu lain dari yang digunakan di kuching.
Contoh;
1. Miri: iboh berolah, kelak bapak marah.
Kuching: iboh berolah, kelak bapak manas.
Baku: jangan buat perangai, nanti bapa marah.

Akan tetapi, keunikan dialek melayu Sarawak dilihat semakin berkurangan. Antara sebabnya adalah:
1. Pertembungan penduduk dari pelbagai tempat di Malaysia kerana semakin ramai orang merantau, sama ada suka atau tidak (contohnya lepasan KPLI dari semenanjung ‘ditikam’ ke pedalaman Sarawak atau sabah). Tambahan pula, pertembungan penduduk yang masing-masing memiliki dialek sendiri turut berlaku di dunia maya. Boleh jadi suatu hari kelak akan ada Esperanto de Malaysia.
2. Kurangnya penerapan istilah melayu Sarawak di kalangan anak muda. Misalnya kalau seseorang minta diambilkan pinggan, dengan mudahnya dia cuma menyebut ‘pinggan’, bukan ‘tapak’ walaupun pendengar itu juga orang sarawak;
3. Kurangnya kesedaran di kalangan orang melayu Sarawak untuk memperkasakan bahasanya sendiri – dalam aktiviti seharian selain aktiviti formal yang menggunakan bahasa baku sebagai medium;
4. kurangnya teks formal dalam bahasa melayu Sarawak kerana dirasakan tidak perlu. Mungkin jika Sarawak menjadi sebuah negara, perkara ini boleh diiusulkan, mungkin. Akan tetapi, menjadi bahasa utama pun mungkin menjadi isu sebab sekarang memang hampir tiada teks formal dalam dialek melayu Sarawak, menyebabkan ia kurang kelayakan berbanding bahasa lain. Kemungkinan kaum lain akan berasa tidak puas hati kerana mereka telah lama mengambil inisiatif tersebut (memperkasakan bahasa mereka), antaranya penerbitan akhbar dan majalah bahasa iban.


Itulah mungkin antara sebab mengapa keunikan dialek melayu Sarawak semakin hari semakin kurang dan sekali gus membuktikan bahasa berevolusi.

***
Beberapa istilah dalam dialek melayu Sarawak;
1. rupe mbah (Nampak gaya)
2. gaik (ambil)
3. ngabas (melawat)
4. pesik (tanggal)
5. tabir (tirai)
6. mujur joros (mujur)
7. nyelepat (ambil kesempatan)
8. sarah (kotak kayu)
9. kemaik (kotor)
10. menais (kotor)
11. kain cukin (tuala mandi)
12. bersikap (berkemas)
13. kalas (merah jambu)
14. gadong (hijau)
15. engkodok (ungu)
16. lego (buang)
17. jaber (tandas)
18. lanang (buaian)
19. padong (siling)

istilah asing yang sudah mantap;
1. mupok (move off)
2. gohet gostan (go ahead, goes turn)
3. raon (round)
4. enjos (exhaust)
5. enjas (adjust)
6. perempan (frying pan)
7. soba (absorber)
8. belon (kapal terbang)

7 comments:

jebatsari said...

...mengikuti.

nak tanya, ada tak kamus dialek sarawak-BM?dgpl

zuraima said...

ada. tapi namanya daftar istilah, err sama dengan kamus tak?

Nuyun said...

hehe... best ali jak eh kak yai tuk!
terer! terer!

. said...
This comment has been removed by the author.
anggerik chinte said...

boleh x bagi kesan dalek swak trhadap pembelajaran bhs melayu......
sy sdg mengkaji dialek swak,dri upm

LeqED said...

Dgpl tu apa

Unknown said...

Dolok ada usaha memasukkan bahasa tempatan (termasuk Melayu Sarawak) ke dalam Bahasa Melayu standard. Apa jagi nya?

Kan senang sbg contoh: JAMEK/pinjamkan; BERARAU/makan tengah hari; KALAS/merah jambu, dsb.